30 Nov 2011

MENGESAN penyakit dengan tepat melalui kaedah diberi nama patologi digital bersepadu dijangka dapat merevolusikan cara menyelidik penyakit dilakukan di institusi-institusi perubatan pada masa depan.
Patologi merujuk kepada proses mendiagnosis dan mengkaji penyakit dengan menyelidik sel-sel dan tisu-tisu badan secara tepat dan jitu.
Cara tradisional melakukannya adalah dengan meletakkan contoh tisu-tisu yang dijangka berpenyakit seperti barah, di atas permukaan sisip kaca untuk diselidiki di bawah mikroskop.
Tetapi patologi digital bersepadu atau integrated digital pathology (ITD) yang menggunakan teknologi terbaru, membolehkan contoh tisu-tisu itu didapatkan dengan lebih cepat dan dikongsi sama dengan para penjaga kesihatan lain seperti doktor pakar dan ahli radiologi di pelbagai peringkat dan lokasi dalam sekelip mata dan dalam jumlah imej yang berlipat ganda.
Kaedah patologi digital sebenarnya telah digunakan sejak tahun-tahun 1980-an. Namun, ia mempunyai beberapa kekurangan seperti proses imbasan yang perlahan, mutu imej kurang jelas, rangkaian kurang luas dan kos lebih tinggi.
Sistem ITD yang terbaru itu dilihat sebagai satu ciptaan inovasi yang radikal. Ini kerana ia membolehkan hubungan bersepadu diadakan antara ahli-ahli dan jabatan-jabatan patologi, menjimatkan kos melalui penyepaduan makmal dan membantu kerja-kerja mengarkib dan menyimpan maklumat patologi dengan lebih berkesan.
SEMINAR PATOLOGI
Penggunaan kaedah patologi digital terbaru ini diperkenalkan baru-baru ini dalam seminar patologi pendidikan menggunakan sistem patologi digital syarikat GE dengan kerjasama Hospital Besar Singapura (SGH).
Di seminar itu, lebih 60 ahli patologi dari serata Asia telah menyelidik lebih 40 kes patologi menggunakan sistem patologi digital GE yang melibatkan lebih 500 imej slaid digital.
Menurut GE Healthcare, sistem patologi digital yang digunakan ialah Omnyx (TM) Integrated Digital Pathology.
Pengurus besar GE Healthcare IT, Asia Pasifik, Encik John Chee, berkata: “Patologi digital bersepadu ini bukan saja memberi manfaat dari segi pendidikan, bahkan daya penghasilan ahli patologi dan menjimatkan masa penyelidikan mereka.”
Memberi contoh, Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan Omnyx, Encik Rajiv Enand, berkata:
“Sekiranya seorang ahli patologi di Kuala Lumpur, misalnya, ingin berkongsi hasil penyelidikan contoh tisu pesakitnya dengan ahli patologi di Singapura, usaha ini dapat dilakukan dalam beberapa saat melalui ITD, berbanding tempoh kira-kira dua minggu jika ia dilakukan secara tradisional iaitu menghantarnya dengan alat pengangkutan berulang-alik dari kedua-dua tempat.”
Namun, buat masa ini, ITD itu digunakan bagi penyelidikan tisu-tisu badan dan belum lagi bagi menyelidik darah yang memerlukan proses imbasan yang le`bih mendalam, tambahnya.
Click for jpeg format
« Back to previous
page
back to top