List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

STROK: KELEBIHAN TERAPI AWAL (Berita Harian, 2 March 2011, Pg11)

02 Mar 2011

 

DISERANG angin ahmar adalah antara pengalaman yang paling ditakuti.

Namun, ada sebahagian orang yang diserang penyakit itu tidak sedar mereka mengalaminya atau menyangka ia adalah masalah sakit lain yang mereka hadapi.

Lantas, mereka tidak mendapatkan rawatan secepatnya yang amat bermanfaat untuk seseorang yang diserang angin ahmar atau strok.

Bagaimanapun, kini pesakit angin ahmar dijangka mempunyai peluang jauh lebih baik untuk mengatasi strok yang dialami jika mereka mendapatkan terapi pemulihan awal yang lebih intensif dalam tempoh 24 jam.

Tetapi, hasil pendekatan ini belum dapat dikenal pasti.

Justeru, untuk mengetahui sejauh mana terapi pemulihan awal ini berkesan, Hospital Besar Singapura (SGH) telah memulakan program percubaan dinamakan ‘Percubaan Pemulihan Awal’ atau A Very Early Rehabilitation Trial (Avert) untuk pesakit strok yang datang awal ke hospital itu dalam tempoh 24 jam.

Di bawah program itu, pesakit strok yang datang ke SGH dalam tempoh tersebut dan berkeadaan mantap diberikan senaman-senaman khusus secepat mungkin oleh kumpulan pakar fisioterapi, doktor dan jururawat.

Ini diharapkan membantu pemulihan awal pesakit dan mengurangkan tempoh penginapan mereka di hospital, sebagaimana kajian-kajian terdahulu pernah menunjukkan.

Sejauh ini 29 pesakit telah diterima menjalani program itu daripada lebih 500 pesakit yang ditapis untuk melihat kesesuaian mereka. Lebih 50 peratus tidak dapat dilibatkan kerana tidak datang ke hospital dalam tempoh 24 jam dan ada pula tidak mahu menyertainya.

SENAMAN LEBIH INTENSIF

“Program percubaan ini melibatkan terapi senaman sahaja yang lebih intensif berbanding dengan senaman-senaman yang dijalani pesakit sebelum ini. Ia tidak melibatkan pemberian ubat dan adalah selamat,” kata Dr Mohammed Tauqeer Ahmad, Pendaftar Jabatan Neurologi, Institut Sains Neuro Nasional (NNI)-SGH, dan pengkaji utama bagi program percubaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan butir-butir terapi itu atau bagaimana senaman itu dijalankan, bentuk atau intensitinya atas alasan hasilnya belum terlihat.

Avert merupakan satu program ujian rambang yang bertujuan melibatkan lebih 2,000 pesakit strok di pusat-pusat kesihatan di beberapa buah negara.

SGH merupakan pusat kesihatan Asia pertama yang menyertainya dan bercadang melibatkan 120 pesakit dalam tempoh dua tahun.

Program itu merupakan inisiatif Institut Kajian Strok Nasional di Melbourne, Australia, yang mempunyai pusat-pusat di Australia, New Zealand, Scotland dan Wales.

Dr Mohammed Tauqeer menambah: “Pada masa lalu dipercayai bahawa pesakit strok tidak boleh segera bersenam sebaik saja diserang angin ahmar kerana ia disangka boleh membahayakan.

“Bagaimanapun, kajian-kajian baru menunjukkan bahawa terapi senaman yang menjurus kepada pergerakan badan, boleh dimulakan jauh lebih awal bagi pesakit strok.

“Maka itu, program percubaan ini mungkin boleh memberi manfaat kepada pesakit strok kerana ia berpotensi mengurangkan risiko pesakit menjadi tidak berupaya selepas strok.”

Kajian-kajian lalu menunjukkan pesakit strok menghabiskan sehingga 50 peratus masa mereka berehat di katil tanpa melakukan apa-apa.

Hanya 13 peratus daripada masa mereka menghabiskan masa sehari dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu pemulihan mereka.

Pakar fisioterapi utama SGH, Cik Dawn Tan May Leng, berkata bahawa jika pesakit strok berehat terlalu lama di katil, mereka boleh mendapat jangkitan seperti jangkitan paru-paru.

“Terapi lebih intensif itu boleh diberikan mungkin selama seminggu hingga dua minggu. Pada ketika itu, tiada ubat-ubatan diberikan kecuali yang biasa mereka gunakan untuk penyakit mereka.

“Apa yang kami ingin elakkan ialah pengulangan penyakit strok pesakit,” ujar Cik Tan.


Click here for pdf format

  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :07 Apr 2011