22 Sep 2010
Satu sistem pengurusan katil yang memanfaatkan frekuensi radio telah berjaya mengurangkan masa pesakit menunggu untuk 'dihantar' ke katil di Hospital Besar Singapura (SGH) kepada maksimum hanya dua jam minggu lalu.
Sistem yang menggunakan kod warna, teknologi Pengenalpastian Frekuensi Radio (RFID) dan alat membaca itu menyediakan maklumat masa nyata mengenai lokasi pesakit, status bilik dan kadar penginapan katil hospital.
Kod itu antara lain menunjukkan sama ada sesuatu katil itu sedang digunakan, menunggu pemindahan atau sedang dibersihkan.
Karyawan penjagaan kesihatan dan kakitangan hospital boleh mendapatkan maklumat pesakit terkini hanya dengan memanfaatkan skrin LCD yang ditempatkan di pelbagai lokasi di hospital itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SGH, Profesor Ang Chong Lye, sistem yang dilaksanakan pertengahan Mei tahun lalu itu telah berjaya mengurangkan masa menunggu untuk dihantar ke katil di wad daripada 90 minit kepada hanya 50 minit.
Sistem bara itu, yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Katil, berharga $3 juta.
SGH, yang mempunyai 1,500 katil, sebelum ini perlu memanfaatkan perhubungan menerusi telefon bagi memastikan sama ada terdapat katil kosong di wad hospital mereka.
Ini menyebabkan masa menunggu di bilik kecemasan melebihi 10 jam.
Menteri Kesihatan, Encik Khaw Boon Wan, sebelum ini berkata pembukaan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) di Yishun telah berjaya mengurangkan kesesakan di hospital-hospital awam lain dan para pesakit kini tidak lagi perlu menunggu sehingga 10 jam bagi menerima rawatan jika mereka dimasukkan dalam wad kemalangan dan kecemasan (A&E).
Beliau berkata pembinaan Hospital Besar Jurong (JGH), yang akan menambah 700 katil, akan meringankan lagi beban di hospital-hospital awam.
Click here for jpeg format
« Back to previous
page
back to top