List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

SEBELUM BINA MAHLIGAI...  (Berita Harian, 22 June 2011, Pg 10)

22 Jun 2011

 


MENDIRIKAN rumah tangga bukan setakat memerlukan persediaan kewangan.

Kesejahteraan dari segi kesihatan juga perlu diambil berat, terutama keupayaan pasangan suami isteri melahirkan anak sihat.

Pasangan yang prihatin dalam soal ini boleh menjalani pemeriksaan atau ujian-ujian kesihatan sebelum membina mahligai.

Dr Cindy Pang, Konsultan Bersekutu di Jabatan Sakit Puan dan Perbidanan, Hospital Besar Singapura (SGH), memberikan beberapa penjelasan mengenai isu ini.

Soalan (S): Mengapakah pasanganpasangan harus menjalani ujian kesihatan?

Jawapan (J): Di Singapura, pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga tidak diwajibkan menjalani ujian kesihatan.

Bagaimanapun, kami menggalakkan mereka melakukannya sebelum perkahwinan jika mereka risau tentang keadaan kesihatan am mereka termasuk soal penyakit kelamin yang berjangkit dan penyakit keturunan.

Pasangan juga boleh mengambil peluang daripada sesi ini untuk mendapatkan nasihat mengenai perancangan keluarga dan cara meningkatkan tahap kesuburan mereka agar dapat menimang cahaya mata.

Kebanyakan individu tidak tahu sepenuhnya tahap kesihatan mereka. Seseorang boleh kelihatan sihat tetapi beliau sebenarnya mungkin menghidap penyakit yang belum dikesan atau menjadi pembawa penyakit berjangkit atau penyakit keturunan.

Ujian-ujian yang dijalankan boleh mengenal pasti masalah kesihatan pada bakal suami atau isteri.

Misalnya, sekiranya pasangan anda pembawa penyakit hepatitis B – yang boleh bersifat asimptomatik (tidak menunjukkan tanda-tanda) – anda juga boleh berisiko tinggi mendapat penyakit itu melalui hubungan kelamin dengannya.

Sekiranya kedua-dua anda dan pasangan anda adalah pembawa penyakit keturunan tanpa simptom atau tanda, terdapat risiko tinggi anak anda juga akan mengalami penyakit genetik itu.

Selain itu, ada pasangan yang tidak pasti penyakit-penyakit keturunan yang mungkin dihidapi keluarga mereka.

Pemeriksaan sebelum perkahwinan bertujuan mengesan gen yang membawa penyakit yang terdapat dalam diri pasangan, selain menerangkan kepada mereka risiko gen itu diturunkan kepada anak mereka.

Pasangan yang terjejas dengan penyakit keturunan begini boleh menjalani kaunseling sebelum mengadakan hubungan kelamin.

Kesan penyakit keturunan akan diterangkan kepada pasangan agar mereka boleh mengambil keputusan yang baik mengenai sama ada mahu meneruskan rancangan untuk mempunyai anak, atau sebaliknya.

Pasangan juga boleh bertanya sama ada diadakan atau tidak pemeriksaan janin untuk mengesan penyakit genetik, atau kaedah disebut preimplantation diagnosis iaitu mengenal pasti kecacatan-kecatatan genetik pada embrio menerusi kaedah kesuburan permanian beradas (IVF).

S: Apakah ujian-ujian kesihatan sebelum perkahwinan yang dijalankan di SGH? Apakah ciri-ciri ujian itu dan kosnya?

J: Ujian-ujian pemeriksaan yang dijalankan dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut:

Kesihatan am.

Ini termasuk pemeriksaan fizikal dan ujian darah dan air kencing. Ujian pap smear dan nasihat mengenai penyakit-penyakit wanita juga diberikan kepada bakal isteri.

Penyakit-penyakit kelamin yang berjangkit.

Ini termasuklah ujian HIV, hepatitis B, klamidia, gonorea dan sifilis.

Penyakit-penyakit keturunan.

Ini seperti penyakit darah disebut thalassemia.

Ujian untuk penyakit-penyakit keturunan lain pun boleh diberikan.

Pasangan-pasangan boleh mendapatkan vaksin untuk beberapa penyakit tertentu seperti hepatitis B dan penyakit cacar.

Mereka yang ingin menjalani ujian-ujian ini boleh membuat janji temu dengan pakar sakit puan di Pusat Sakit Puan dan Perbidanan, SGH.

Kosnya bergantung kepada ujianujian dan vaksin yang diberikan.

S: Bilakah masa yang baik bagi pasangan-pasangan menjalani pemeriksaan seperti ini?

Pemeriksaan ini bertujuan mengenal pasti risiko sepasang bakal suami isteri menurunkan penyakit genetik mereka kepada anak mereka, selain risiko yang dihadapi semasa hamil.

Justeru, masa terbaik untuk mereka menjalani pemeriksaan ini adalah sebelum mereka merancang mempunyai anak.

Ada beberapa golongan orang yang berisiko lebih tinggi seperti mereka yang berkahwin sesama saudara, mempunyai sejarah keluarga yang berpenyakit genetik dan mereka sendiri terlebih awal sudah menghidap sesuatu penyakit.

S: Pernahkah ada pasangan-pasangan yang tidak jadi berkahwin selepas mendapat tahu hasil ujian mereka?

J: Tidak. Kebanyakan pasangan sudah mempunyai banyak informasi dan mereka diberikan pilihan untuk membuat keputusan apabila keadaan kesihatan mereka didedahkan.


Click for jpeg format

  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :22 Jun 2011