List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

Risiko Meningkat Semasa Ramadan (Berita Harian, 24 August 2011, Pg 12)

24 Aug 2011

 
By: DEWANI ABBAS

PESAKIT kencing manis berisiko tinggi yang berpuasa pada bulan Ramadan berisiko lima kali ganda akan mengalami komplikasi- komplikasi penyakit itu, berbanding pada bulan-bulan lain.

Namun, mereka ini biasanya adalah para pesakit yang tidak mengawal penyakit mereka dengan baik.

Para pesakit kencing manis berisiko tinggi adalah golongan mereka yang menjalani dialisis atau paras gula dalam darah mereka kerap rendah berulang kali atau ia terlalu tinggi.

Mereka juga kerap dimasukkan ke hospital kerana masalah-masalah kesihatan.

Dan komplikasi-komplikasi yang dihadapi itu termasuk penyakit-penyakit yang menjejas mata, jantung, kaki, ginjal dan sistem saraf mereka.

Jika mengalami komplikasi-komplikasi ini, pesakit boleh mengalami pula serangan jantung, strok atau gangren yang menyebabkan kaki mereka terpaksa dipotong.

Oleh yang demikian, menurut Dr Sueziani Zainudin, pesakit kencing manis berisiko sangat tinggi atau tinggi selalunya disyorkan agar tidak berpuasa oleh doktor mereka.

“Bagaimanapun, ramai pesakit kencing manis dalam kategori ini tidak tahu apa yang harus dilakukan jika ingin berpuasa dalam bulan Ramadan. Begitu juga, doktor atau GP (general practitioner) mereka pun selalunya tidak tahu.

“Oleh itu, kami sarankan sebelum berpuasa, baiklah pesakit berisiko tinggi seperti ini berjumpa doktor, jururawat pendidik, pakar fisioterapi dan pakar pemakanan di hospital untuk mendapatkan nasihat terperinci daripada pelbagai segi,” kata Dr Sueziani, Pendaftar di Jabatan Endokrinologi di Hospital Besar Singapura (SGH) yang berkhidmat di Pusat Kencing Manis.

Dapatan mengenai pesakit kencing manis berisiko tinggi yang berisiko lima kali ganda mengalami komplikasi penyakit mereka dalam bulan puasa adalah hasil kajian yang dijalankan di beberapa negara Timur Tengah, termasuk United Kingdom (UK).

Di UK, berikutan kajian itu, satu program diadakan untuk memeriksa risiko pesakit kencing manis sebelum mereka berpuasa. Mereka yang didapati tidak berisiko tinggi dibenarkan berpuasa, kata Dr Sueziani.

Usaha pendidikan serupa diberikan di sini, katanya, melalui video mengenai kencing manis dalam bahasa Melayu bertajuk Berpuasa Dalam Bulan Ramadan yang dihasilkan SGH.

Dalam video itu, Dr Sueziani memberikan penerangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh pesakit kencing manis sebelum mereka berpuasa.

Satu bengkel setengah hari juga telah diadakan untuk memberikan panduan sama kepada pesakit. Cuma bezanya, pesakit berpeluang mendapatkan bimbingan perseorangan daripada doktor selepas sesi itu.


RELA BERHENTI MAKAN UBAT
“Apa yang saya dapati ialah ada pesakit yang lebih sedia berhenti memakan ubat daripada tidak berpuasa. Disebabkan itu mereka mengalami masalah kandungan gula yang tinggi di dalam darah, bukan rendah – masalah yang kami prihatin.

“Jika pesakit berisiko tinggi benar-benar ingin berpuasa, mereka perlu memantau keadaan penyakit mereka seperti bila paras gula turun dan bila ia naik terlalu tinggi,” katanya lagi.

Apa yang penting ialah pesakit perlu memantau tiga perkara – ubat-ubatan mereka, aktiviti fizikal dan pemakanan mereka.

“Pesakit juga perlu memastikan mereka minum air secukupnya agar badan tidak kering. Jika memakan karbohidrat, pilih jenis yang lebih menyihatkan, bukan yang akan membuat paras gula mereka menjadi huru-hara, dan kurangkan aktiviti fizikal semasa berpuasa,” nasihatnya.

Dr Sueziani, yang lulus dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kedoktoran pada 2002 dan menjalani latihan di Royal College of Physicians and Surgeons di Glasgow pada 2009, telah menjalankan beberapa kajian mengenai penyakit kencing manis di Hospital Alexandra.

Beliau juga merupakan pendaftar perkhidmatan di Jabatan Perubatan Hospital Khoo Teck Puat tahun lalu dan telah mengikuti latihan pengkhususan lanjutan dalam bidang endokrinologi sebelum menyertai SGH.


Email: dewani@sph.com.sg

Click for jpeg format

  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :25 Aug 2011