List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

PAKAR UROLOGI MELAYU (Berita Minggu, 10 July 2011, Pg 11)

10 Jul 2011

 


SEMPENA Bulan Kesedaran Prostat, kita berkenalan dengan Dr Nor Azhari Mohd Zam, satu-satunya pakar urologi Melayu di sini yang berkhidmat di Hospital Besar Singapura (SGH).

Antara pencapaian pakar bedah muda ini ialah beliau telah dianugerahkan pingat emas dari Kolej Pakar Bedah pada tahun 2009.

Beliau baru tamat menjalani latihan lanjutan dalam bidang pembedahan endourologi dan laparoskopi di Sydney, Australia, pada Mei lalu.

Berusia 36 tahun, Dr Nor Azhari akan mengakhiri zaman bujangnya pada akhir tahun ini.

Beliau mempunyai seorang abang kembar, Dr Nor Azhar, juga seorang doktor, yang berkhidmat di klinik keluarga, Zam Family Clinic di kawasan Choa Chu Kang.

Dr Nor Azhari minat bermain dan menonton bola sepak dalam waktu senggangnya.

Berikut wawancara saya dengannya.

Soalan (S):Mengapakah anda memilih menjadi pakar urologi?

Jawapan (J): Urologi adalah antara kepakaran yang paling menarik.

Pakar urologi bukan sahaja terlibat dalam mengubati penyakit-penyakit tertentu, malah melakukan pelbagai jenis pembedahan.

Misalnya, penyakit batu karang, mengikut jenis, saiz dan lokasinya, boleh dirawat dengan cara Extracorporeal Shock wave Lithotripsy (ESWL), pembedahan endoskopi, pembedahan laparoskopik (keyhole surgery) dan juga pembedahan konvensional (open surgey).

S: Apakah cabaran dalam kerjaya anda?

J:
Lazimnya, kebanyakan pesakit kami adalah warga emas.

Pakar urologi harus pandai menilai sama ada sesuatu rawatan atau pembedahan itu akan memanfaatkan pesakit yang mungkin berumur 75 tahun ke atas.

Tambahan pula, risiko pembedahan mungkin meningkat di kalangan pesakit yang berusia.

Sungguhpun begitu, jika faedah sesuatu rawatan melebihi risikonya, pakar urologi akan tetap menawarkan pembedahan.

S: Apakah jenis pesakit dan penyakit yang anda rawati?

J: Saya merawat penyakit barah yang menjejas organ-organ ginjal, pundi kencing, prostat, zakar dan buah zakar, begitu juga masalah batu karang di ginjal, saluran ureter dan pundi kencing.

Turut saya rawati ialah penyakit ketumbuhan dan pembesaran kelenjar prostat akibat lanjut usia yang dinamakan benign prostatic hyperplasia.

S: Bagaimana batu karang boleh terbentuk dalam ginjal dan saluran kencing?

J: Ia terbentuk akibat jumlah air kencing yang rendah dan isi kandungan kalsium, asid urik, oxalate atau cysteine yang berlebihan di dalam air kencing.

Ini berpunca daripada tiga faktor utama.

Pertama, kurang minum air, terutama sekali apabila berada dalam cuaca yang panas.

Kedua, akibat penyakit tertentu seperti gout, hypercalcemia (kandungan kalsium yang berlebihan di dalam darah) dan hyperoxaluria (kandungan oxalate yang berlebihan di dalam air kencing).

Ketiga, pemakanan yang berlebihan kandungan garam, lemak, daging, hati lembu, ikan sardin, ikan bilis, kacang dan sayur bayam.

S: Bagaimana mencegah penyakit batu karang ginjal?

J: Pertama, banyakkan minum air sehingga warna air kencing jernih.

Kedua, kesan dan rawat penyakit-penyakit seperti gout, hypercalcemia dan hyperoxaluria.

Ketiga, amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

S:Apakah tanda-tanda kerosakan ginjal?

J:
Pertama, badan bengkak akibat cecair badan yang tidak dapat dibuang dan sesak nafas akibat paruparu yang mengandungi air.

Kedua, mudah rasa penat akibat kandungan urea terlampau tinggi di dalam darah dan tiada selera makan dan muntah.

S: Apakah pula tanda-tanda penyakit barah prostat?

J: Pada peringkat permulaan, tiada tanda, kecuali melalui ujian darah prostate specific antigen (PSA) yang tinggi atau pemeriksaan prostat yang bengkak dan keras.

Pada peringkat lanjut, pesakit boleh berasa sukar membuang air kecil, saluran kencing tersumbat, sakit sewaktu membuang air kecil serta air kencing atau air mani berdarah.

Jika barah prostat telah merebak ke tulang, pesakit boleh mengalami bisa tulang berterusan dan paling ketara pada waktu malam.

S: Bagaimanakah menjaga kesihatan ginjal?

J: Amalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat. Elakkan daripada menghidapi tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, kencing manis dan batu karang ginjal. Jika menghidapi penyakit-penyakit di atas, rawati dan kawal dengan baik.

S: Bagaimana pula menjaga kesihatan kelamin dan kesuburan lelaki?

J:
Penyakit mati pucuk berpunca daripada tiga faktor utama.

Pertama, lanjut usia.

Kedua, penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan merokok.

Ketiga, stres dan masalah rumah tangga.

Cara terbaik menjaga kesihatan kelamin dan kesuburan lelaki adalah memilih gaya hidup sihat dengan tidak merokok, bersenam selalu, menjaga pemakanan seimbang selain menjalin hubungan yang baik dan intim dengan isteri.

S. Apakah perkara-perkara yang menyenangkan dan kurang menyenangkan anda dalam merawat pesakit?

J: Saya senang dengan pesakit yang mengambil tahu tentang masalah kesihatan mereka dan anggota keluarga pula mengambil berat tentang ibu bapa dan masalah kesihatan mereka.

Yang saya kurang senangi ialah anggota keluarga terlalu sibuk dengan kerjaya atau hidup masing-masing hingga kurang menjaga ibu bapa mereka sendiri.

SOALAN CEPUMAS

S: Jika anda mempunyai anggota keluarga atau teman yang memerlukan organ ginjal dan jika anda dianggap sesuai dan serasi sebagai pendermanya, adakah anda akan tampil ke depan untuk menderma? Jika ya, mengapa?

J: Ini adalah suatu soalan yang sukar dijawab. Ia bergantung kepada pandangan seseorang yang menghadapi situasi tersebut.

Pendermaan organ seperti ginjal atau hati adalah salah satu pergorbanan yang paling besar yang boleh dilakukan seseorang.

Kajian menunjukkan pesakit ginjal yang sudah menjalani pemindahan organ akan memperolehi mutu kehidupan dan hayat kehidupan yang lebih tinggi berbanding pesakit yang menjalani dialisis.

Bakal penderma sebaiknya harus melakukannya dengan niat yang murni dan ikhlas.

Jika penderma melakukannya dengan harapan atau niat lain, ia mungkin akan menimbulkan penyesalan dan ketegangan dalam hubungan keluarga.

Penderma ginjal juga harus sedar tentang risiko-risikonya kerana ia merupakan pembedahan yang besar. Ia juga mempunyai implikasi jangka masa panjang kerana seseorang penderma itu hanya mempunyai satu ginjal.

Kajian menunjukkan seseorang itu masih boleh hidup lebih daripada 30 tahun hanya dengan satu ginjal. Tetapi, jika si penderma tidak menjaga kesihatannya atau mempunyai penyakit yang melibatkan satu-satunya ginjal beliau, ada kemungkinan beliau sendiri akan memerlukan dialisis pada masa hadapan.

Oleh itu, pendermaan organ itu adalah suatu isu yang harus diberi perhatian, perbincangan dan difikirkan sedalam-dalamnya sebelum keputusan diambil.

Nota: Penulis ialah pakar perbidanan dan sakit puan, Hospital Raffles, Tampines 1.


Click for jpeg format

  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :11 Jul 2011