18 Jan 2012

MENGALIHKAN pesakit yang tidak dapat bergerak dan kurang bertenaga dari katil hospitalnya ke tempat lain seperti bilik mandi, sering menjadi tugas yang agak berat bagi para jururawat.
Mereka adalah seperti pesakit lumpuh atau menghidap penyakit saraf lain.
Apatah lagi jika pesakit itu berbadan besar. Sering sehingga tiga atau empat jururawat diperlukan untuk mengangkat dan mengalihkan pesakit sedemikian.
Inilah yang dihadapi para jururawat di sebuah wad Hospital Besar Singapura (SGH).
Bagaimanapun, kini sudah ada satu sistem peralatan untuk mengangkat pesakit sedemikian, menggunakan teknologi maju disebut patient lifter yang telah diperkenalkan di hospital itu baru-baru ini.
Penolong Pengarah Kejururawatan SGH, Cik Norhayati Ahmad, menerangkan:
“Kami telah memikirkan idea untuk mengadakan peralatan seperti ini sejak April 2010 demi keselamatan pesakit dan juga meringankan tugas jururawat yang mengangkat mereka.
“Saya pernah lihat ada jururawat yang sampai berpeluh-peluh mengangkat pesakit untuk memindahkan mereka dari katil ke kerusi atau troli untuk dimandikan di bilik air.
“Berikutan itu kami berunding dengan pengurus jururawat dan membuat saranan kepada lembaga perubatan untuk mengadakan sistem ini.”
Saranan itu diterima dan peralatan itu dipasang di wad 74 SGH, sebuah wad untuk pesakit saraf, pada April tahun lalu. Sistem ‘patient lifter’ ini direka oleh ArjoHuntleigh, sebuah syarikat peralatan perubatan yang berpangkalan di Sweden.
Sebagai permulaan ia dipasang di dua bilik dengan 12 katil pesakit. Perluasannya sedang dibuat untuk merangkumi sembilan bilik di wad yang sama dengan 68 katil.
SGH merupakan satu-satunya hospital di sini ketika ini yang mempunyai sistem mengangkat pesakit menggunakan peralatan tersebut.
“Para jururawat kami kini dapat mengalihkan para pesakit dengan selamat dan secara tertib. Ini membuat pesakit dan penjaga mereka lebih yakin terhadap jururawat kerana mereka menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan pesakit.
“Sistem ini membolehkan seorang jururawat sahaja mengawal sistem untuk mengangkat pesakit tanpa menggunakan tenaga empat keratnya,” jelas Cik Norhayati lagi.
Menurut beliau, pemasangannya menelan belanja $150,000.
Pengurus jururawat kanan SGH, Cik Susan Loh, menambah:
“Cara lama mengangkat pesakit juga boleh menyebabkan luka pada kulit pesakit atau memberi tekanan kepada ulser yang mungkin telah timbul di kulit mereka kerana banyak berbaring.
“Sistem baru ini mengelakkan perkara ini daripada terjadi.”
Demonstrasi bagaimana peralatan itu digunakan menunjukkan ia memang memudahkan jururawat dan membuat pesakit berasa selesa.
Jururawat, Cik Nur Hazimah Zulkifli, tidak perlu mengangkat pesakit di katilnya, meletakkannya di kerusi atau ke troli dengan susah payah sebelum menolak troli itu ke bilik mandi.
Beliau hanya meletakkan bahan alas di bawah tubuh pesakit itu yang disambungkan dengan perkakas motor di siling.
Beliau kemudian mengancing ketat talinya pada pemegang dan gunakan alat kawalan untuk menggerakkan peralatan motor di siling yang mengangkat pesakit sepanjang trek, macam buaian, dari bilik wad ke bilik mandi untuk mandi atau membuang air.
Perkakas ini juga boleh digunakan sebagai alat untuk pesakit lumpuh melakukan senaman berjalan kaki.
“Ini dapat mengelakkan mereka daripada risiko terjatuh,” kata Cik Loh.
SGH berharap dapat meluaskan penggunaan sistem itu ke unit-unit jagaan rapinya (ICU) dan wad pembedahan hospital itu menjelang tahun depan.
Click for jpeg format
« Back to previous
page
back to top