01 Apr 2011
HOSPITAL Bright Vision (BVH), yang merupakan sebuah pertubuhan kebajikan sukarela (VWO), akan menjadi anak syarikat Perkhidmatan Kesihatan Singapura mulai hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), pemindahan hak milik itu dibuat atas permintaan hospital tersebut sendiri.
Sebagai sebuah VWO, BVH, yang terletak di Lorong Napiri dekat Yio Chu Kang Road, menghadapi cabaran besar mengekalkan keupayaan perubatan dalam menyediakan tahap jagaan kesihatan sewajarnya bagi pesakitnya.
Lembaga pengarah BVH berasa ia tidak mempunyai kepakaran secukupnya untuk memaksimumkan potensi hospital itu sebagai sebuah hospital masyarakat, lalu meminta hak milik hospital itu diambil alih MOH atau salah satu entitinya.
Menurut MOH lagi, sejak tahun lalu Hospital Besar Singapura (SGH) telah bekerjasama dengan BVH dalam melaksana penjagaan pesakit.
Kerjasama itu membolehkan BVH memanfaatkan kepakaran klinikal dan pengurusan SGH.
Beberapa peningkatan telah juga dilakukan terhadap aliran kerja dan keberkesanan BVH, ujar MOH.
Jumlah pesakit di BVH meningkat daripada sekitar 150 orang April lalu kepada sekitar 200 sekarang.
BVH akan diubah elok bagi meningkatkan kemudahan dan menambah jumlah katilnya. Biayanya ditanggung sepenuhnya oleh MOH.
Selain itu, BVH akan terus menerima dana bantuan daripada MOH, selain mengekalkan statusnya sebagai Institusi Bertaraf Awam (IPC).
MOH berkata ini akan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan BVH kekal dimampui, terutama pesakit berpendapatan rendah.
Click for jpeg format
« Back to previous
page
back to top