List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

Kumpulan sokong pesakit barah hati akan ditubuh (Berita Harian, 14 September 2011, Pg 10)

14 Sep 2011

 
SEBUAH Kumpulan Penyokong Penyakit Barah Hati akan ditubuhkan buat julung-julung kali di Singapura.

Kumpulan tersebut, yang bertujuan membantu pesakit barah hati dan orang yang mereka kasihi menanganinya sebelum, semasa dan selepas mereka menjalani rawatan itu akan ditubuhkan bersama oleh Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Hospital Besar Singapura (SGH).

Ia akan didukung oleh para doktor dan sukarelawan daripada kedua-dua institusi kesihatan itu.

Melalui kumpulan itu, pelbagai aktiviti akan dianjur untuk anggotanya seperti ceramah pendidikan dan perjumpaan sosial.

Setiap tahun, NCCS merawat 80 pesakit yang baru didiagnosis menghidap barah hati.

Barah hati yang keempat paling biasa dihidapi dan ketiga paling kerap membawa maut di kalangan kaum lelaki Singapura.

Menurut Daftar Barah Singapura, 1,561 orang meninggal dunia akibat penyakit itu dari 2005 hingga 2009.

Angka ini dijangka meningkat dengan kian ramai penduduk lanjut usia di sini pada masa depan.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa 80 peratus daripada kes barah hati di seluruh dunia berpunca daripada virus Hepatitis B.

Namun, sekitar 64 peratus pesakit barah itu enggan menjalani pemeriksaan yang kerap.

Menurut NCCS dan SGH, jangkitan virus Hepattis B salah satu faktor risiko yang diketahui boleh membawa kepada barah hati, jika ia tidak didiagnosis atau tidak dirawat.

Malah, risiko seorang pesakit yang dijangkiti Hepatitis B untuk mendapat barah hati adalah 100 kali lebih tinggi berbanding orang yang tidak dijangkiti virus itu.

Oleh itu, menjalani pemeriksaan kesihatan secara kerap dan mendapatkan vaksin boleh membantu mencegah barah ini.

Mengenai kumpulan penyokong tersebut, Dr Lee Ser Yee, Konsultan Bersekutu di Jabatan Onkologi Pembedahan di NCCS, berkata:

“Pesakit yang menghidap barah hati mungkin mempunyai banyak soalan, kemusykilan dan salah tanggapan mengenai penyakit mereka dan pilihan-pilihan rawatan yang terbuka kepada mereka.

“Misalnya, mereka mungkin ingin tahu apakah pilihan rawatan terbaik dan apakah kemajuan terbaru dalam rawatan barah itu.

“Di sinilah kumpulan baru ini boleh memberi peluang kepada pesakit dan penjaga mereka untuk berkongsi pengalaman mereka dengan para pesakit lain, di samping mendapatkan nasihat profesional daripada para doktor, jururawat dan sukarelawan kesihatan kita.”

Sehubungan itu, Kempen Kesedaran Barah Hati Keempat diadakan pada bulan ini dengan tema ‘Perangi Barah Hati’.

Kali ini bukan ceramah dan forum diadakan, sebaliknya permainan-permainan yang menyelitkan mesej cara mencegah barah hati.

Dr Chan Chung Yip, konsultan di Jabatan Pembedahan Am di SGH, berkata:

“Hati salah satu organ terpenting dalam tubuh kita kerana ia menjalankan pelbagai fungsi termasuk detoksifikasi (membersihkan bahan beracun dalam tubuh) dan protein sintesis iaitu proses pembuatan protein dalam tubuh.

“Jika hati diabaikan, ia mudah terdedah kepada kerosakan dan boleh membawa kepada barah hati. Tetapi, yang paling tidak baik mengenai barah hati ialah pesakit tidak sedar mereka menghidapinya sehinggalah ia sudah di peringkat lanjut.

“Apabila sudah begitu, biasanya sudah terlambat dan barah itu tidak dapat dirawat. Oleh itu, rakyat Singapura digalakkan menjalani imunisasi Hepatitis B, jika mereka belum menjalaninya, untuk mencegah barah hati.”


Click for jpeg format

  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :14 Sep 2011