06 Aug 2011

By: Mohd Ikhlash Abdullah
DALAM bulan Ramadan, konsep menjamu ketika berbuka sering diadakan di masjid dan badan kebajikan demi meraih keberkahan serta meraikan suasana kesyukuran dalam kalangan warga Muslim setempat.
Dek semangat itulah maka dapat dilihat saban tahun menu hidangan yang disediakan rata-rata sungguh menyelerakan dan lazat.
Ini belum termasuk kos yang dibelanjakan demi memastikan jemaah terus-menerus berkumpul dan berbuka di situ.
Umumnya, ini merupakan satu langkah yang baik. Cuma perlu diingatkan bahawa pendekatan sebegini juga boleh mengubah tabiat pemakanan dan gaya hidup.
Cakap mudahnya, amat rugi jika seseorang itu meraih amalan berpuasa yang bermutu dari aspek kerohanian tetapi malangnya apa yang dimakan ketika berbuka tidak menjurus ke arah sesuatu yang bermanfaat.
Ramai warga kita berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan kandungan lemak berlebihan, lantas ada beberapa usaha mudah boleh diperkenal.
Antaranya, menu hidangan berbuka perlu yang menyihatkan, bukan lazat dan halal semata-mata, di samping menyelitkan risalah atau panduan untuk meneruskan kegiatan berpuasa dengan diisi amalan bersenam.
Tayangan video perihal panduan menjaga kesihatan juga lebih afdal daripada setakat berjamu sambil bersembang menanti waktu bersolat.
Contohilah cara Hospital Besar Singapura (SGH) yang menayangkan video perihal mengekang penyakit kencing manis ketika pesakit menunggu giliran untuk bertemu doktor.
Jika kita serius dalam melaksanakan langkah sebegini, sudah pasti tahun demi tahun akan menurun perangkaan pesakit kita khususnya dalam kalangan Muslim dengan meneruskan amalan berpuasa di luar Ramadan serta disulami dengan proses mengubah cara pemakanan kita yang sihat.
Cuma persoalannya, apakah akan ada jemaah hadir keesokan harinya apabila hari ini dihidangkan bubur setengah mangkuk kecil, sebiji epal hijau dan segelas air jarang?
Di sinilah kita menguji tahap keimanan kita dalam berpuasa sama ada ingin mencari keredaanNya atau setakat ingin berbuka ala menu di hotel lima bintang.
Click for jpeg format
« Back to previous
page
back to top