List of accesskeys skip navigation

About Us Singapore's oldest and largest tertiary acute hospital and national referral center.

Skip Navigation LinksHome > About Us > Newsroom > News Articles/ Reports

Jururawat cemerlang dihargai (Berita Harian, 02 August 2011, Pg 03)

02 Aug 2011

 
By: ADLI YASHIR KUCHIT


TIDAK semua orang boleh melakukan tugas sebagai jururawat.

Tugas mereka bukan hanya menjaga dan memberi keselesaan kepada para pesakit, malah memberi sokongan kepada anggota keluarga pesakit dalam masa-masa yang sukar.

Bagi mereka yang sedia memberikan khidmat seperti Jururawat Kanan Berdaftar, Cik Hartini Osman, 29 tahun, ia kerjaya yang amat mencabar dari segi emosi, fizikal dan mental.

“Ada kalanya kami terpaksa menangani pesakit yang ganas, ada pula yang sudah nyanyuk dan tidak kurang pula yang mempunyai kerenah masing-masing. Tetapi apa yang lebih berat ialah menangani kematian pesakit,” kata Cik Hartini.

Biarpun demikian, jururawat Hospital Besar Singapura (SGH) yang telah berkhidmat selama sembilan tahun itu tidak gentar menghadapi cabaran serupa itu.

“Mungkin saya mempunyai suara yang tenang dan mudah memberikan keselesaan kepada pesakit,” kata ibu dua anak itu.

Cik Hartini merupakan salah seorang daripada 12 jururawat yang menerima Anugerah Kejururawatan SingHealth-Yayasan Lee-Yayasan D.S. Lee pada perayaan Hari Jururawat di Suntec City baru-baru ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf khidmat mereka yang cemerlang, berdedikasi dan minat yang amat mendalam terhadap kerjaya masing-masing.

Mereka menerima plak dan hadiah wang tunai $2,000 setiap seorang.

“Tentu sekali saya gembira menerima penghargaan dan saya harap anugerah ini dapat memberi motivasi kepada jururawat lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Jururawat Klinik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Cik Maria Jumhasan, 46 tahun, kerjayanya memberi peluang berkongsi kegembiran ibu bapa yang menyambut kelahiran bayi mereka.

“Sepanjang 21 tahun berkhidmat sebagai jururawat, tidak pernah ada detik yang membosankan, pastinya ada yang menarik dari segi pembelajaran dan pengalaman,” kata Cik Maria.

Sempena perayaan Hari Jururawat tahun ini, beliau merupakan antara tujuh jururawat SingHealth yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Cik Maria memilih untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana di sebuah universiti di Australia.

Biasiswa SingHealth Alice Lee Institute of Advanced Nursing itu membiayai antara lain yuran dan perbelanjaan bagi kursus selama satu setengah tahun di Australia.

“Dengan adanya ijazah sarjana kelak saya berharap dapat mempunyai pengetahuan untuk menangani tugas jururawat yang semakin mencabar di samping membimbing jururawat yang lebih muda,” kata Cik Maria.


Email: adli@sph.com.sg

Click for jpeg format  

« Back to previous page

back to top

Last Modified Date :26 Sep 2013