25 Apr 2009
Pemindahan berganda – jantung dan hati – pertama di Singapura dan rantau Asia telah menyelamatkan nyawa seorang paderi, Encik Lau Chin Kwee.
Beliau, 57 tahun, dikesan menghidapi sejenis penyakit genetik yang jarang berlaku, Familial Amyloid Neuropathy (FAP), tiga tahun lalu.
Penyakit itu menyebabkan saraf, jantung dan hati beliau rosak.
Pengarah Perkhidmatan Pemindahan Hati Hospital Besar Singapura (SGH), Profesor Madya Tan Chee Kiat, berkata pemindahan hati diperkenal pada 1990 sebagai kaedah menggantikan hati, yang mengeluarkan protein mutan.
Menurut Pejabat Pendaftaran Pemindahan Dunia FAP, sehingga Jun tahun lalu terdapat 17 pemindahan berganda hati dan jantung dilakukan di seluruh dunia, lapor laman laman web The Straits Times semalam.
Hasil penantian hampir tiga tahun dan berfikir secara mendalam, Encik Lau akhirnya menjalani pembedahan pemindahan kedua-dua organnya itu, hati dan jantung, pada 7 April lalu setelah menerima organorgan tersebut daripada seorang penderma yang sudah meninggal dunia.
Pembedahan selama 12 jam 20 minit itu melibatkan dua pasukan bedah seramai 50 anggota, termasuk 10 pakar bedah dari SGH dan Pusat Jantung Kebangsaan.
Ia bermula dengan pemindahan jantung, yang diselesaikan dalam masa tiga jam setengah.
Pasukan pembedahan pemindahan hati pula mengambil masa lima jam.
Masa selebihnya digunakan untuk menyiapkan organ-organ yang didermakan dan memastikan Encik Lau selamat.
Encik Lau, ayah tiga orang anak, berkata beliau berharap dapat kembali berkhidmat sebagai paderi sebaik-baik sahaja beliau mampu.
Click here for pdf version
« Back to previous
page
back to top